Kerjaya kelab Jonas Hector

Köln

Selepas memulakan kerjayanya di akademi SV Auersmacher, Hector berpindah ke 1. FC Köln pada tahun 2010. Beliau dipromosikan ke pasukan senior oleh jurulatih Holger Stanislawski untuk musim 2012–13 dan beliau diberi beraksi pada perlawanan pusingan pertama DFB-Pokal menentang SpVgg Unterhaching pada 1 Ogos 2012.[1] Pada 27 Ogos, beliau melakukan penampilan pertamanya dalam saingan liga menentang FC Erzgebirge Aue.[2][3] Beliau seterusnya menjadi pemain utama kelab untuk musim tersebut dan beliau tampil dalam 24 perlawanan liga.[4]

Pada musim 2013–14, Hector bermain 33 daripada 34 perlawanan Köln sehingga dinobatkan juara divisyen kedua dan dipromosi ke Bundesliga untuk musim hadapan.[5] Pada 4 November 2013, beliau menjaringkan gol profesional pertamanya ketika pasukannya menumbangkan Union Berlin 4-0.

Pada musim berikutnya, beliau beraksi dalam kesemua perlawanan liga Köln. Beliau melakukan penampilan sulungnya di Bundesliga ketika menentang Hamburger SV pada perlawanan pembukaan liga.[6][7] Pada 4 Oktober 2014, beliau menyumbat gol pertamanya di Bundesliga biarpun pasukanna tewas 3-2 kepada Eintracht Frankfurt.[8][9] Pada hujung musim, beliau dinamakan sebagai Pemain Terbaik Köln Musim 2014–15 selepas beliau menerima undian 54.41% menerusi laman web rasmi kelab. Pada 31 Disember 2015, Hector juga dinamakan sebagai "Pemenang Tahunan" FC Köln oleh surat khabar Cologne, Express selain akhbar itu turut menggelarkan pertahanan itu sebagai "Mr. Reliable".

Pada 7 Februari 2016, Hector menjadi kapten pasukan Köln buat pertama kali dalam perlawanan terikat seri 1-1 menentang Hamburg. Pada penghujung musim 2015–16, Hector dilaporkan pemain melakukan halangan tertinggi dalam mana-mana perlawanan Bundesliga iaitu dengan jumlah 20 halangan.

Selepas menempuh musim cemerlang dan kempen Euro 2016, Hector menjadi tarikan kelab-kelab luar antaranya Liverpool dan Chelsea yang telah bersedia berunding berhubung kontrak baru. Pada 14 Ogos 2016, Hector menandatangani kontrak lanjutan besama Köln sehingga tahun 2021.